Bekas pemain sayap Chungbuk Cheongju, R. Kogileswaran kini sedang menimbang tawaran dua pasukan Liga Super selepas meninggalkan kelab K-League 2 itu.
Berdasarkan perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bekas pemain PJ City FC itu menimbang tawaran sebuah pasukan dari Lembah Klang dan sebuah pasukan dari utara tanah air.
Kogileswaran mengakui sedang menimbang tawaran yang dibuat dua pasukan. Tetapi buat masa ini, beliau belum menyatakan pasukan mana yang akan dipilih.
Justeru, Kogileswaran hanya akan mendedahkan pasukan pilihannya esok selepas meninggalkan Chungbuk.
“Officially, keputusan akan dibuat dalam 24 jam. So, saya akan umum pasukan itu di media sosial. Saya belum buat keputusan lagi, ada beberapa tawaran dari pasukan lain di Malaysia. So, kita akan tunggu sampai esok dan kita tengok,” katanya dalam sidang media khas di Astro Arena.
Selain Chungbuk Cheongju dan PJ City FC, Kogileswaran pernah beraksi untuk Harimau Muda dan Sri Pahang FC.