Sebagai persiapan untuk aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 yang seterusnya, Selangor FC mengatur dua aksi persahabatan menentang kelab gergasi ASEAN.
Dua kelab yang menjadi pilihan skuad futsal Merah Kuning ialah kelab Black Steel FC dari Indonesia dan Black Pearl United (Thailand).
Pengumuman dua aksi persahabatan ini dibuat pengurusan Selangor menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka semalam.
‘Dan berita baik untuk semua peminat futsal terutama penyokong Selangor, kita akan menganjurkan aksi persahabatan antarabangsa dengan Black Steel FC dan Black Pearl United minggu ini. Tunggu!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Penganjuran dua aksi persahabatan ini dibuat memandangkan perlawanan MPFL Selangor yang seterusnya ialah pada 26 Mei ini.
Perlawanan tersebut menyaksikan Selangor bakal beradu dengan Shah Alam City di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.
Selangor bakal membuka tirai cabaran persahabatan dengan menentang Black Steel pada 8 Mei. Ini disusuli Black Steel turun menentang Black Pearl United pada 9 Mei.
Aksi persahabatan antarabangsa ini ditutup dengan aksi antara Selangor dengan Black Pearl United pada 10 Mei.
Kesemua perlawanan berlangsung pada jam 5.00 petang di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam. Penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan pada harga RM10.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk melihat perlawanan di stadium, mereka boleh menonton tiga aksi berkenaan secara langsung menerusi saluran YouTube SelMACTV.