Selangor membayar pampasan kepada SJK Seinajoki untuk menukar status Nooa Laine daripada perpindahan pinjaman kepada perpindahan tetap.
Perkara ini disahkan sendiri Pengarah Teknikal SJK, Richard Dorman apabila ditanya tentang status terkini pemain berusia 21 tahun itu.
Beliau memaklumkan Selangor sudah mengaktifkan klausa perpindahan tetap Nooa sekaligus membolehkannya menyertai pasukan gergasi Lembah Klang itu.
“Semasa musim (2024/25) berjalan di Malaysia, (klausa) pembelian Laine dalam perjanjian pinjaman beliau diaktifkan dan beliau menjadi pemain Selangor FC secara perpindahan tetap.
“Tempoh kemajuan Laine di Seinajoki dilihat selari dengan perancangan kelab dan kami sangat gembira kerana seorang lagi pemain lain yang telah melalui laluan kerjaya untuk terus maju dalam kariernya.
“Kami mengucapkan selamat berjaya buat Noah dan demi kesinambungan kariernya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Nooa melafazkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SJK kerana membantunya menjadi pemain bola sepak yang dikenali hari ini.
“Saya rasa tempoh tiga tahun yang dilalui saya di SJK Seinajoki banyak membantu saya sebagai pemain dan individu. Saya dapat bermain bola sepak dengan teratur buat kali pertama dan menjadi pemain profesional sepenuh masa.
“Saya bertemu dengan ramai orang yang mengagumkan dan beraksi bersama pemain-pemain hebat. Saya juga rasakan setiap kali beraksi di bawah jurulatih berbeza berikan saya sesuatu yang baru yang saya boleh gunakan untuk kemajuan diri saya.
“Saya sentiasa mengingati SJK Seinajoki termasuk pada musim ini. Meskipun beraksi secara pinjaman (bersama Selangor), saya cuba menonton setiap perlawanan atau sekurang-kurangnya kompilasi perlawanan,” katanya.
Sejak menyertai Selangor pada Februari 2024, Nooa sudah merekodkan 21 penampilan dalam semua kejohanan termasuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Beliau turut membantu pasukan itu mara ke final Piala FA 2024 sebelum tewas kepada penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) 6-1.