Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui belum pasti dapat menurunkan bek tengah kebangsaan, Harith Haiqal Adam Afkar menjelang aksi liga menentang Perak FC.
Musim 2024/25 menyaksikan Harith Haiqal menyinar sebagai tonggak utama Merah Kuning di bahagian pertahanan.
Ini terbukti apabila bek tengah berusia 22 tahun itu merekodkan 23 penampilan dan dua gol dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Harith juga turut diberi peluang menggalas peranan kapten dalam dua aksi ACL2 menentang Jeonbuk Hyundai Motors. Prestasi baiknya bersama Selangor turut menyebabkan beliau dipilih menyertai Harimau Malaya.
Harith sudah merekodkan lima penampilan antarabangsa bersama Harimau Malaya. Ini termasuk aksi ketiga Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menentang Thailand baru-baru ini.
Memandangkan Harith beraksi selama 85 minit dalam perlawanan berkenaan, Kinoshi mahu menilai tahap kecergasannya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Selain anak jati Klang itu, Kinoshi juga mahu menilai tahap kecergasan penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
“Kita mahu memeriksa status mereka. Kalamullah tidak bermain dalam aksi terakhir (aksi menentang Thailand), jadi pastinya (tahap kecergasan) beliau dalam keadaan baik.
“Tapi Harith Haiqal bermain selama 85 minit, jadi kita mesti semak status (kecergasannya) untuk tentukan beliau berada dalam senarai (pasukan menentang Perak). Jadi, kita akan lihat,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Selangor berharap dapat meneruskan momentum kemenangan selepas membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 5-1 dalam aksi suku akhir pertama pada 12 Disember lalu.
Merah Kuning bakal berentap dengan Perak di Stadium Manjung pada 17 Disember. Aksi sebelumnya membabitkan kedua-dua pasukan menyaksikan Selangor meraih kemenangan 2-1 pada 23 Jun lalu.