Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim membuat kemunculan pertama untuk Selangor FC di pentas Asia.
Selepas kembali beraksi di atas padang buat Merah Kuning pada Ogos lalu, ramai penyokong Selangor mahu melihat kelibat Faisal di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ini kerana pemain sayap berusia 26 tahun itu merupakan antara tonggak yang membantu Selangor muncul naib juara Liga Super 2023.
Pencapaian itu membantu Merah Kuning layak ke peringkat kumpulan ACL2 musim 2024/25. Dan akhirnya, hasrat penyokong Selangor menjadi kenyataan.
Faisal masuk sebagai pemain gantian dalam aksi kedua Kumpulan H ACL2 dengan Dynamic Herb Cebu di Stadium MBPJ. Beliau masuk menggantikan pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes pada minit ke-62.
Selain Faisal, penyokong Selangor turut teruja apabila jurulatih, Nidzam Jamil menurunkan dua tonggak import baru mereka iaitu Mohammad Abualnadi dan Nikola Jambor.
Kedua-dua pemain masing-masing masuk pada minit ke-78 menggantikan Ali Olwan dan Quentin Cheng.
Ketika ini, Selangor masih mendahului 1-0 hasil jaringan pemain perancang Venezuela, Yohandry Orozco pada separuh masa pertama.