Selangor FC Dalam Ranggi Metropolis
Blog
Advertisements

Saat ini mana degupan Ah
Sehari sebulan setahun menunggu
Datang ke kota simpang berjuta
Apa tahu cari jalan pulang

Ketika ini mana degupannya? Hatta suara ‘Ah’ sekalipun tidak mampu lagi kedengaran. Tidak mampu dibanggakan. Degupan yang dahulu itu, pekikan itu, sorakan itu yang bergema ketika kegemilangan Selangor di suatu masa lampau.

Sehari, sebulan, setahun…bahkan bertahun-tahun sudah para penyokong setia Red Giants menunggu pasukan kesayangan mereka ini bangkit kembali, meniti masa-waktu kegemilangan dahulu. Piala Malaysia 2015 adalah terakhir yang dimenangi. Tahun 2010 menjuarai Liga Super serta mendakap Piala Sumbangsih buat kali terakhir. 2009 kali terakhir mencium trofi Piala FA. Terjebak ke dalam masalah-masalah kecil dan besar yang menjerumuskan umpama simpangnya berjuta. Apa tahu jalan pulang menuju gemilang?

Advertisements

Semakin dekat semakin jauh
Semakin hampir sampai penamat hilang
Kita tahu bukannya ke mari
Kabus asap timbul hilang tak menentu

Mainkan video ini sambil membaca artikel:

Terkadang rasanya sudah semakin dekat untuk bangkit kembali namun ia tidak semudah itu. Apabila rasanya semakin hampir, rupa-rupanya masih belum mampu menang. Bukan, bukan menang satu atau dua piala sahaja tetapi meletakkan Selangor FC kini di takhta yang pernah mereka terajui dahulu.

Advertisements

Selangor sebuah pasukan yang digeruni pasukan lawan suatu ketika dahulu dan memiliki konsistensi kejayaan yang sangat mengagumkan. Para penyokong setia tidak ada seorang pun menyangka Selangor yang sangat gah suatu ketika sekarang terkial-kial mencari kemegahan dan juga kestabilan lama. Ya, mereka tahu bukannya ke mari; bukan ke titik ini. Bukan begini seharusnya situasi bola sepak Selangor.

Selangor FC kini sedang dalam proses mencari formula untuk berjaya, umpama berada dalam kabus asap. Segala apa yang mereka lakukan kini bagaikan trial and error – tidak pasti apa betul atau salah langkah.

Lorong-lorong hitam
Gelap berpelita
Mana lorong terang
Belum lagi jumpa

Advertisements

Sejak memenangi Liga Super pada tahun 2010, Selangor bagaikan tersesat dalam sebuah kota di mana setiap jalan yang mereka cuba sebenarnya hanyalah lorong hitam yang akhirnya menyesatkan meski diterangi sedikit cahaya daripada pelita.

Selangor dan kini Selangor FC belum lagi jumpa jalan, cara atau formula bagaimana mengulangi konsistensi, kegemilangan dan kemantapan sepanjang 1996-2010 di mana waktu itu mereka mengumpul 17 buah trofi.

Berapa lama aku mencari
Bulan belum lagi jatuh ke riba
Mana kenal apa itu jemu
Panas api yang mengalir di belakang

Advertisements

Berapa lama harus mereka mencari formula untuk berjaya dan digeruni seperti dahulu? Telah berkali-kali berganti jurulatih dan pengurusan namun bulan belum lagi jatuh ke riba. Gemilang dahulu belum kelihatan tanda-tandanya. Tetapi apakah mereka berputus asa? Tentu tidak.

Haluan semakin jelas cahayanya sejak Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil alih jawatan Presiden FAS pada Julai 2018 dan setelah proses penswastaan menjadi Selangor FC, Tengku Amir Shah menjawat jawatan Pengerusi. Banyak perubahan telah dilakukan, banyak kemudahan telah disediakan dan ditambahbaik. Mana pernah kenal jemu untuk melahirkan kembali Selangor yang dahulu meski cabaran dan dugaan sepanjang proses pencarian ini umpama api panas yang mengalir di belakang tubuh.

Di lorong-lorong gelap
Cukup sekali datang

Andai nanti Selangor FC berjaya mendapatkan kegemilangan, konsistensi dan juga kestabilan lama berkat usaha pengurusan sekarang yang mengadunkan kepakaran tenaga kerja dari Jerman serta bakat tempatan, pelihara ia dan kekalkanlah ia selama mana mungkin; jika boleh biarlah ianya kekal selama-lamanya. Jangan sampai kegemilangan itu hilang kembali seperti waktu sekarang. Cukuplah sekali sahaja bola sepak Selangor berada di lorong kegelapan.

Luka sendiri membalut hati
Lantas terpatri di belakang mimpi
Terlepas dari cengkaman hari
Hanya debu berterbangan bebas

Salah sendiri semua yang terjadi kini, bermula daripada Selangor. Dampaknya pada Selangor FC yang kini perlu bekerja keras memperbaiki semuanya; yang perlu bermula dari ‘nol’ lagi. Pelbagai kemelut yang terjadi dalam persatuan sebelum ini – masalah stadium; orang-orang dalam persatuan sebelum ini yang mencampur-adukkan urusan politik dengan bola sepak sehingga terlepas cengkaman hari. Cengkaman kejayaan dahulu. Itulah luka yang tercipta kerana salah sendiri, membalut hati sendiri sehingga terpatri di belakang mimpi. Mimpi yang ingin dicapai tidak tergapai kerana dibebani luka iaitu masalah dan kemelut yang membinasa. Apa yang mereka perolehi akhirnya? – Hanya debu berterbangan bebas. Tiada hasilnya.

Lorong-lorong sesak
Kerumun mangsa rosak
Nafas degupan Ah
Tak kontemporari ranggi

Ini adalah gambaran sebelum Selangor FC terbentuk. Ini adalah gambaran sebelum proses penswastaan. Saat ini Selangor FC dalam proses memperbaiki struktur kelab, cuba menjadi se-profesional mungkin untuk mendapatkan hasil terbaik dan mungkin mengambil kiblat JDT, kelab yang terlebih dahulu berada di lorong-lorong sesak ini; mencuba pelbagai cara dan juga pendekatan untuk menjadi terbaik. Buktinya; kerja keras tidak pernah mengkhianati hasil.

Tidak dinafikan, proses berada dalam lorong sesak ini menjemput kerosakan dalam bentuk tohmahan serta kritikan. Biasalah, orang kita mahukan hasil segera. Terkadang mereka tidak mahu mengerti proses yang dilakukan untuk hasil yang lebih berpanjangan. Memang berada dalam fasa ini nafas degupan kita tak berasa kontemporari ranggi. Ia cuma helaan sepi.

Selangor FC dan perubahan yang menanti hasilnya berbuah manis

Saya melihat segala usaha dan juga perubahan yang cuba dibawa pengurusan kini iaitu Red Giants F.C. Sdn. Bhd. kepada Selangor FC khususnya serta kepada budaya bola sepak di Selangor umumnya kini berada di laluan yang benar dan agak jelas. Ia tidak lagi bersimpang-siur seperti ketika bola sepak itu sendiri berkaitrapat dengan kerajaan negeri. Diharap selepas ini tiada lagilah ‘tangan-tangan ghaib’ yang mengatur keputusan pengurusan, yang kononnya dibuat demi kejayaan tetapi pada hakikatnya memusnahkan
ekosistem bola sepak itu sendiri.

Pembangunan pusat latihan yang sentiasa ditambahbaik mengikut keperluan serta keadaan kewangan kelab yang kini sudah digunakan untuk latihan skuad utama dan skuad simpanan, penstrukturan skuad simpanan menjadi lebih sistematik; pemborongan secara pukal graduan AMD, penyelarasan akademi untuk pembangunan akar umbi yang lebih berkesan; pelantikan Pengarah Teknikal, Ketua Jurulatih serta beberapa lagi staf kejurulatihan dari Jerman, mula menggunakan khidmat nutritionist untuk menjaga-mengawal
diet para pemain supaya optimal – kurang jelas apa lagi usaha-usaha ini? Saya sangat memuji langkah-langkah ini. Sekurang-kurangnya, ia lebih baik daripada sesetengah pasukan yang masih berlatih di padang taman.

Buat para penyokong Selangor FC, lupakanlah dulu kedudukan pasukan dalam Liga Super. Mungkin ada yang mahukan hasil segera. Mungkin ada yang bertanya-tanya dengan taktikal atau DNA Jerman yang digembar-gemburkan selama ini setelah Karsten Neitzel mengambil alih. Di mana hasilnya? Mengapa Neitzel seperti masih mencari-cari gandingan, formasi serta pemain yang sesuai untuk menterjemahkan bola sepak dengan DNA Jerman itu?

Mengapa Neitzel tidak henti memberikan peluang kepada pemain muda ‘menyelip’ dalam perlawanan penting sehingga keputusan perlawanan-perlawanan tersebut pada akhirnya tidak memihak kepada Selangor FC. Buat mereka yang bertanya-tanya itu, giliran saya pula bertanya anda.

Saya tanya anda – anda inginkan hanya satu atau dua piala sahaja, atau anda mahukan legasi yang lama? Jangan terpancing dengan dramatisasi media. Karsten Neitzel bukannya Tuhan yang mampu mengubah sesuatu perkara sekelip mata sahaja.

Hanya ada beberapa jurulatih sahaja yang mampu menghadirkan piala dalam tahun pertama mereka mengurus pasukan baru. Itupun kerana mereka menyertai kelab yang sudah jelas tersusun objektif dan struktur pengurusannya.

Neitzel dan Feichtenbeiner mungkin sudah biasa bekerja di kelab bola sepak swasta sebelum ini. Tetapi bagi pihak pengurusan – CEO Dr. Johan Kamal, para pemegang amanah dan Tengku Amir Shah sendiri; mungkin ini satu pengalaman baru memacu sebuah kelab bola sepak yang terbangun daripada FA. Harus diingat iainya FA yang menjadi FC. Jadi, mungkin pihak pengurusan dan pihak kejurulatihan saling belajar dan menegur sesama.

Tiada salahnya Karsten Neitzel sedikit bereksperimen dengan barisan pemain yang beliau miliki. Kedudukan Selangor FC dalam Liga Super juga tidak seteruk mana – masih kedudukan top 5. Mereka masih lagi berpeluang untuk menamatkan Liga Super musim ini di kedudukan yang lebih tinggi. Berikan beliau, Feichtenbeiner dan pihak pengurusan peluang untuk terus berkembang. Sekurang-kurangnya dua musim lagi. Saya menyayangkan sekiranya ada pihak yang minta pihak pengurusan menukar jurulatih. Tolong jangan begitu.

Kekerapan menukar jurulatih tidak akan mendatangkan kejayaan segera. Malah mungkin merugikan kerana perlu membayar wang pampasan. Daripada wang itu dirugikan, lebih baik ianya digunakan untuk tujuan pembangunan akar umbi, penambahbaikan pusat latihan dan lain-lain tujuan.

Terdapat keselarasan antara skuad Selangor FC dan skuad Selangor II baik daripada gaya permainan, pengurusan dan juga bentuk latihan. Disebabkan itu, kita sering melihat banyak pemain muda secara mudahnya ‘diangkat’ naik ke skuad utama. Ini tidak lain bertujuan untuk mendedahkan mereka dengan pengalaman seawal mungkin dan pembentukan karakter.

Saya bukanlah penyokong pasukan Selangor FC tetapi saya memandang usaha murni yang mereka lakukan kini sangat jelas, tepat dan juga berani. Mereka mengikut langkah yang JDT lakukan ketika Harimau Selatan mahu bangkit daripada tidur tidak lama dulu.

Tidak mahukah anda melihat ada kelab lain yang memecah dominasi JDT? Siapapun yang melakukan usaha memperbaiki mutu bola sepak kelab yang pastinya akan berimpak kepada bola sepak negara pasti akan saya sokong.

Selangor FC serta Terengganu FC kini saya lihat antara dua kelab yang mengorak langkah demi mengejar-mencabar JDT. Saya berharap semoga suatu masa nanti, Selangor FC kembali bernafas dengan degupan yang kontemporari ranggi.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram