Selangor mencatatkan kemenangan ketiga di peringkat kumpulan untuk mara ke separuh akhir Ho Chi Minh City Futsal Open 2023 setelah menumbangkan wakil vietnam, Thai Son Nam.
Selangor yang turun dengan momentum terbaik dilihat tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan menerusi pemain muda, Syahir Iqbal Khan seawal minit ketiga.
Bintang muda berusia 18 tahun itu sekali lagi menjadi wira pasukan setelah menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke 12.
Seakan tersentak, Thai Son Nam cuba mengatur serangan ke arah kubu Selangor namun tiada jaringan dapat dihasilkan sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa pertama, Selangor mendahului 2-0 ke atas Thai Son Nam.
Separuh masa kedua menyaksikan permainan lebih didominasi Thai Som Nam dengan beberapa gerakan licik untuk menembusi benteng The Red Giants.
Ketika sedang rancak menyerang, penyerang import Selangor, Wellington Pereira menambah duka wakil tuan rumah itu apabila menghukum kealpaan pemain Thai Son Nam untuk melebarkan kedudukan.
Keputusan Selangor 3-0 Thai Son Nam kekal sehingga tamat permainan dan Selangor berjaya meraih 3 mata untuk mengakhiri aksi kumpulan di tangga teratas.
Dengan kemenangan ini, Selangor mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan dan akan berdepan naib juara kumpulan A pada 27 Disember untuk perebutan tiket ke aksi final.