Selangor gagal meneruskan kecemerlangannya dalam aksi pra musim setelah tumbang kepada wakil Vietnam, Sahako FC dalam aksi separuh akhir Ho Chi Minh City Futsal Open 2023.
Selangor yang turun sebagai juara kumpulan B dilihat sedikit goyah dan peluang itu dimanfaatkan Sahako untuk membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi pemain berjersi nombor tiga.
Belum sempat Selangor bangkit, wakil tuan rumah itu berjaya menggandakan jaringan menerusi tendangan jarak jauh penjaga gol Sahako seminit kemudian.
Aksi bertambah menarik selepas itu dengan Selangor terus menekan benteng lawan dan akhirnya usaha itu berhasil menerusi penyudah Wellington Pereira.
Sahako tidak berdiam diri dan terus meledak menerusi dua jaringan pantas masing-masing daripada pemain berjersi nombor 14 dan 24 untuk jaguh Vietnam itu selesa mendahului 4-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Kembali dari rehat, Sahako berjaya melebarkan jurang jaringan menerusi pemain berjersi nombor 25 yang memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang Selangor.
Sahako terus selesa dengan jaringan keenam menerusi pemain berjersi nombor 25 yang meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini.
Selangor terus dihukum apabila tandukan pemain berjersi nombor 25 itu terbias mengenai pemain Selangor untuk terus menerjah ke jaring gol Selangor.
Tiga minit sebelum permainan tamat, Khairul Effendy berjaya menjaringkan gol kedua The Red Giants sebelum penjaga gol Sahako dan jaringan sendiri pemain Selangor melengkapkan kemenangan Sahako dengan jaringan ke-8 dan 9.
Tamat permainan, Selangor 2-9 Sahako.
Dengan keputusan ini, Sahako berjaya menempah tiket ke aksi final Ho Chi Minh City Futsal Open 2023 menentang kelab Thailand, Thammasat Stallion pada 29 Disember nanti.