Skuad futsal Selangor FC terus menunjukkan kehebatan mereka apabila membelasah kelab China, Shenzhen Nanling dalam aksi terbaru Imane Unity Cup 2025.
Selepas terikat 4-4 dengan Black Pearl United dalam aksi pertama pada 4 April lalu, anak buah Edgar Baldasso memburu kemenangan dalam aksi kedua kejohanan.
Selangor menurunkan barisan terkuat termasuk dua tonggak import, Evandro Borges dan Vitor Fernando Dos Santos.
Dos Santos meletakkan Selangor di hadapan seawal minit kedua. Tersentak, Shenzhen Nanling meledakkan tiga gol menerusi Kaisaier Taximaimaiti (minit keenam), Yimamu Yimuran (minit kesembilan) dan Rafael (minit ke-13).
Serangan bertubi-tubi yang dilancarkan kelab China itu mendorong Baldasso menggunakan taktik power play untuk mengubah momentum perlawanan.
Hasilnya, Borges meledakkan dua gol pada minit ke-15 dan ke-16 bagi menjadikan kedudukan 3-3. Kedudukan 3-3 kekal sehingga rehat.
Dua minit selepas babak kedua bersambung, Borges meledakkan hatrik buat Selangor. Keceriaan Merah Kuning hanya bertahan tiga minit apabila Chen Ziheng menyamakan kedudukan buat Shenzhen Nanling.
Kapten Selangor, Khairul Effendy Mohd Bahrin kembali meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-31. Ini selepas Khairul Effendy mudah menyempurnakan hantaran Dos Santos.
Empat minit kemudian, Faris Johan memastikan Selangor mendahului 6-4 menerusi rembatan deras yang menerjah gawang Shenzhen Nanling.
Kelab China itu merapatkan jurang menerusi gol sendiri Khairul Effendy pada minit ke-39. Walau bagaimanapun, itu sudah terlambat untuk menghalang Selangor meraikan kemenangan.
Selangor berpeluang meraih gelaran juara Imane Unity Cup 2025 dengan syarat mereka menewaskan satu lagi pasukan Thailand, Thammasat Stallions pada 6 April ini.