Bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha berharap Selangor FC sudah bersedia menghadapi cabaran Muangthong United pada 19 September ini.
Selangor kembali beraksi di Asia apabila layak ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25. Ini kali pertama pasukan itu beraksi di pentas benua berkenaan sejak saingan Piala AFC 2016.
Muangthong merupakan antara pencabar Merah Kuning dalam Kumpulan H. Selain kelab Thailand itu, Jeonbuk Hyundai Motors dan Dynamic Herb Cebu turut berada dalam kumpulan sama.
Norshahrul yang mesra disapa Matyo menyifatkan The Kirins mampu memberi cabaran hebat kepada pasukan gergasi Lembah Klang itu. Ini berdasarkan pengalamannya beraksi dalam Thai League 1 bersama BG Pathum United.
Norshahrul menyifatkan pasukan-pasukan Thailand seperti Muangthong lebih suka mengekalkan penguasaan bola dan menilai situasi terlebih dahulu sebelum melakukan hantaran.
Justeru, beliau berharap Selangor bersedia dengan permainan taktikal yang direncana pengendali The Kirins dari Itali, Gino Lettieri.
“Saya tahu sangat permainan liga Thailand ini. Lebih kepada penguasaan bola (dan permainan) bola sepak bijak.
“Jadi, pasukan Selangor harus bersiap sedia dengan kebijaksanaan mereka (Muangthong) bermain di tempat sendiri,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola Khas di Astro Arena.
Pandangan Norshahrul turut dipersetujui bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Razman Roslan. Beliau melihat pemain Selangor harus bijak dan pantas mengubah strategi pada hari perlawanan.
Ini kerana dua elemen ini dapat membantu Merah Kuning bila berdepan Muangthong dalam aksi pertama Kumpulan H.
“Dia kena lihat keadaan semasa. Dan pemain perlu cepat mengubah taktikal atau strategi pada hari perlawanan. Bagi saya, itulah perkara yang sepatutnya dilakukan,” ujarnya.
Selangor bakal berdepan The Kirins di Stadium Rajamangala pada 19 September. Stadium keramat pasukan kebangsaan Thailand itu juga menjadi venue utama Muangthong sepanjang kempen ACL2.