Selangor FC dilaporkan telah mendapatkan khidmat pencari bakat kelab Amerika Syarikat, Minnesota United FC dalam usaha mendapatkan pemain terbaik bagi skuad utama mereka.
Individu yang dimaksudkan adalah saudara Mohd Qayyum yang kini merupakan salah seorang pencari bakat untuk Minnesota United yang beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS).
Pengumuman tersebut dibuat sendiri oleh Qayyum dalam satu hantaran di laman X. Biarpun kini bertugas untuk Selangor, Qayyum tetap meneruskan tugasnya bersama Minnesota.
“Sukacita untuk berkongsi bahawa saya baru-baru ini menyertai kelab tempatan saya, Selangor FC sebagai Scout. Saya akan menyokong proses pencarian bakat kelab untuk mengenal pasti pemain untuk pasukan utama.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk menyumbang sesuatu kepada kelab. Pada masa yang sama, saya akan meneruskan kedudukan saya di Minnesota,” umum Qayyum di laman X.
Untuk rekod, Qayyum pernah bekerja untuk kelab Sepanyol, Velez FC selain turut pernah berkhidmat buat kelab Krabi FC di Thailand.
Antara kejayaan utama Qayyum ketika berada di Velez ialah berjaya mengesyorkan dua pemain yang kemudiannya ditandatangani untuk pasukan utama yang beraksi di Liga Divisyen 2 Sepanyol.