Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan dalam aksi Liga Super 2023 apabila berjaya menundukkan Selangor dengan keputusan 2-0.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim jelas tidak menjadi laluan mudah buat JDT apabila tentangan sengit berjaya diberikan pasukan lawan.
Babak separuh masa pertama berakhir dengan tiada jaringan dihasilkan. Kedua-dua pasukan saling bertukar asakan untuk mencari gol pembukaan.
Selangor berjaya menggegar jaring menerusi tandukan Safuwan Baharudin, bagaimanapun pengadil membatalkan gol tersebut kerana beliau berada di kedudukan offside.
Satu-satunya peluang terhidang buat JDT adalah menerusi Leandro Velazquez dengan sepakan percuma yang diambil namun rembatan deras Leandro itu sedikit tersasar. Separuh masa pertama tamat, JDT 0-0 Selangor.
Separuh masa kedua bermula dengan asakan terus-menerus direncanakan pasukan tuan rumah sementara anak buah Tan Cheng Hoe kekal konsisten mengawal kubu dari dibolosi.
Import gantian JDT, Heberty Fernandes yang dibawa masuk akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-78 permainan. Jaringan debut tersebut dimanfaatkan Heberty setelah keadaan kucar kacir yang berlaku di kawasan kotak penalti Selangor.
Pada babak-babak akhir permainan, Bergson Da Silva menambah jaringan di Stadium Sultan Ibrahim menerusi sepakan penalti pada waktu kecederaan setelah beliau dijatuhkan pertahanan Selangor, Harith Haiqal. Jaringan Bergson memastikan tiga mata milik Harimau Selatan.
Perlawanan tamat, JDT 2-0 Selangor.
Kemenangan ini merupakan kemenangan ke lapan belas dicatat JDT dengan 54 mata berjaya dikumpul dalam aksi Liga Super 2023. Selangor pula mencatat kekalahan kelima malam ini dengan 40 mata diraih skuad Merah Kuning setakat 19 aksi Liga Super musim ini.