Selangor perlu melepasi satu syarat penting yang membolehkan pasukan beraksi di Liga Singapura.
The Red Giants dilaporkan berhasrat untuk menghantar satu skuad bagi beraksi di Liga Singapura dan satu lagi pasukan bagi saingan Liga A1 Semi Pro.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon yang memaklumkan usaha ini sudah sampai kepada pengetahuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FAM.
“Kita dah berhubung dengan AFC. Kita juga sudah maklumkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai hasrat kami (Selangor).
“Ada beberapa cara untuk menyertai Liga Singapura dan salah satunya adalah dengan pasukan membuka syarikat di Singapura.
Usaha ini telah dilakukan oleh syarikat luar seperti Albirex Niigata yang kini menghangatkan Singapore Premier League.
“Kita sedang meneliti pilihan tersebut. Langkah ini telah dibuat oleh kelab luar negara seperti Albirex Niigata dari Jepun dan beroperasi dari sana,” ujarnya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Selangor telah menamatkan saingan Liga Super musim 2024/25 di tangga kedua selain turut melayakkan diri ke pentas AFC Champions League Two (ACL2) bagi dua musim berturut-turut.