Selangor FC perlu sedia menghadapi pelbagai risiko jika tetap meneruskan hasrat beraksi di luar negara.
Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi bila diminta mengulas perkara berkenaan.
Sebelum ini, pengurusan Merah Kuning pernah menyatakan hasrat menghantar satu pasukan beraksi dalam saingan liga Singapura.
Langkah tersebut dilihat sebagai alternatif pendedahan buat barisan pemain muda Selangor selepas saingan Piala MFL dimansuhkan pada musim hadapan.
Yusoff mengingatkan mana-mana pasukan yang mahu bertanding di luar negara berdepan pelbagai risiko termasuk respons negatif daripada penyokong.
“Kena ambil kira semua faktor kalau sesuatu kelab itu bukan saja Selangor tetapi kelab-kelab lain yang mahu beraksi di tempat lain,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Kena ambil kira faktor seperti implikasi kewangan, implikasi kepada liga, liga dalaman itu sendiri dan persepsi orang luar. Jadi, saya fikir semua faktor itu sudah diambil kira.
“Kalau mereka nak meneruskan, mungkin ada tujuan-tujuan tertentu pada hemat saya dia fikir itu yang terbaik untuk pasukan mereka.”
Maklum balas Yusoff timbul tatkala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) merancang menggubal peraturan yang melarang pasukan beraksi di liga luar.