Selangor FC mengesahkan penyerang Chile, Ronnie Fernandez sah tidak bersama pasukan itu pada musim hadapan.
Sebelum ini, penyerang berusia 34 tahun itu memuat naik status mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Merah Kuning di Instagram.
Ini membuatkan ramai peminat Selangor tertanya-tanya tentang status beliau. Ini kerana bekas penyerang Al-Raed itu masih memiliki baki kontrak setahun bersama pasukan Lembah Klang itu.
Kini, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Merah Kuning, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan Fernandez dan Selangor menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.
“Saya sahkan Selangor FC dan Ronnie Fernandez bersetuju untuk tamatkan kontrak secara persetujuan bersama,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Sepanjang bersama Selangor, Fernandez membantu pasukan itu muncul naib juara Liga Super dan Piala FA serta juara MFL Challenge Cup.
Beliau turut menjaringkan 16 gol dalam semua kejohanan buat Merah Kuning termasuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira dicanang sebagai calon pengganti Fernandez untuk musim hadapan. Selain Lira, Selangor dilaporkan semakin hampir mendapatkan pemain perancang Venezuela, Juanpi.