Selangor Sah Rekrut Bintang Piala Dunia Futsal Brazil
UltraSukan
CBF Futsal

Skuad futsal Selangor FC sah mendapatkan bintang Brazil, Marlon Oliveira.

Perpindahan pemenang Piala Dunia Futsal 2024 itu diumumkan pengurusan Selangor FC menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan pemain import baharu kami, Marlon, akan menyertai kami selepas CONMEBOL Copa America Futsal 2026.

“Dengan pengalaman dan kualitinya, Marlon pasti akan mengukuhkan pasukan kami ketika kami memburu kedua-dua gelaran tahun ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini sekaligus menamatkan desas-desus perpindahan pemain berusia 38 tahun itu ke pasukan gergasi Lembah Klang itu.

Nama Marlon menarik perhatian peminat futsal negara apabila nama Selangor dinyatakan sebagai kelab beliau oleh Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF).

Ini kerana pada ketika itu, namanya menjadi sebahagian daripada skuad Brazil yang akan bersaing dalam saingan Copa America Futsal 2026. Marlon bakal menyertai Selangor selepas tamat kejohanan itu.