Pengurusan Selangor FC memaklumkan kecederaan hidung yang dialami Faisal Halim baru-baru ini tidak menjejaskan beliau untuk beraksi seperti biasa.
Pemain sayap Harimau Malaya itu mengalami kecederaan tersebut dalam aksi terakhir Liga Super menentang PDRM FC pada 19 April lalu.
Faisal bernasib malang apabila dilanggar kapten The Cops, Faith Obilor pada minit ke-58. Situasi ini mendorong Katsuhito Kinoshi memasukkan Mukhairi Ajmal Mahadi sebagai pengganti beliau.
Faisal turut berkongsi imej sinar-X hidungnya akibat insiden tersebut menerusi satu hantaran di media sosial beliau.
Kini, pengurusan Merah Kuning memaklumkan kecederaan hidung yang dialami beliau tidaklah serius seperti yang disangka.
“Pemain sayap, Faisal Halim telah disahkan mengalami keretakan di bahagian tulang hidungnya dalam perlawanan penutup Liga Super 2024/25 semalam,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Menurut doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), beliau mengalami Fracture nasal bone with mucosa laceration dan akan dirawat secara konservatif serta mendapatkan pemeriksaan rapi dalam masa terdekat.
“Walau bagaimanapun, tiada kesan membahayakan untuk beliau beraksi di atas padang. Pihak pengurusan mendoakan agar Faisal Halim cepat sembuh. Terus kuat, Mickey!”
Berita ini dijangka memberi kelegaan bukan saja kepada penyokong Selangor tetapi juga pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Ini kerana kehadiran Faisal bakal memberi pilihan kepada beliau di bahagian sayap terutama menjelang aksi menentang Vietnam pada 10 Jun ini.