Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mensasarkan pasukan itu mara sejauh mungkin dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Saingan ACL2 merupakan pengganti kepada kejohanan Piala AFC yang melabuhkan tirainya pada musim 2023/24. Selangor layak ke ACL2 selepas muncul naib juara Liga Super musim 2023.
Ini kali pertama Merah Kuning beraksi di pentas Asia selepas kali terakhir melakukannya pada 2015 menerusi saingan Piala AFC. Walau bagaimanapun, Selangor berdepan cabaran sukar di pentas ACL2.
Ini kerana Merah Kuning bakal berdepan cabaran wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors, Muangthong United (Thailand) dan Dynamic Herb Cebu (Filipina) dalam Kumpulan H.
Atas sebab itu, Johan merasakan setiap kumpulan memberi cabaran tersendiri termasuk Kumpulan H yang dihuni pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Pada masa sama, beliau tidak melihat itu bukan isu buat anak buah Nidzam Jamil untuk memberikan yang terbaik dan cuba mara sejauh mungkin dalam ACL2.
“Alhamdulillah, pertama sekali, saya bersyukur dengan undian yang dijalankan tadi. Saya rasa semua pasukan dalam ACL2 ini semua pasukan yang hebat dan semua memberi pencapaian dalam pertandingan ini.
“Saya rasa semua kumpulan memberi cabaran tersendiri. Tapi apa yang kita ada dalam Kumpulan H, kita bersyukur dan kita akan buat yang terbaiklah dan pergi sejauh yang kita mampu dalam ACL2,” katanya seperti yang dilaporkan Harimau Malaya.
Selangor bakal membuka kempen Kumpulan H ACL2 pada September ini.