Skuad futsal Selangor menerima tamparan hebat menjelang pertemuan berdepan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) hujung minggu ini.
Ini disebabkan oleh kecederaan yang dialami oleh tonggak import, Matheus Silva sedikit merencatkan perancangan pasukan bagi berdepan skuad Harimau Selatan itu.
Menerusi laporan daripada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, kecederaan pemain kelahiran Brazil itu membawa kepada rombakan drastik melibatkan perancangan pasukan oleh ketua jurulatih, Edgar Baldasso.
“Kecederaan import harapan Selangor FC, Matheus Silva ganggu rencana asal menjelang pertemuan dengan JDT. Namun beberapa perubahan drastik Edgar Baldasso di jangka jadi duri dalam daging utk aksi Sabtu,” tulis Fina di laman X beliau.
Bagi bintang muda pasukan, Syahir Iqbal Khan, ketiadaan Matheus Silva ini merupakan peluang terbaik buat pemain tempatan merebut tempat dan berharap rakan sepasukannya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain berusia 26 tahun itu.
”Kelainan kami mungkin dari segi pemain tempatan dapat minit permainan. Jadi mungkin itu sahajalah,” katanya kepada Astro Arena.
”Dia agak sukarlah dengan ketiadaan Ceara (Matheus Silva) ini sebab dia tonggak utama juga dalam pasukan, tapi kami percaya kepada pemain tempatan untuk lakukan sesuatu menentang Johor (JDT) nanti,” ujar pemain berusia 19 tahun itu.
The Red Giants kini menghuni tangga kelima liga dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas KL City sebelum ini manakala JDT masih gah di takhta liga dengan tiga kemenangan bersih.
Kedua-dua pasukan akan turun berentap di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada Sabtu, 16 Mac jam 9.30 malam.