Skuad Piala Belia Selangor berjaya mencatat kemenangan bergaya mengatasi skuad Piala Belia Kelantan Darul Naim.
Biarpun beraksi di laman lawan, Selangor tidak berdepan tugas sukar mengatasi pasukan tuan rumah selepas dua gol berjaya dihasilkan dalam saingan Kumpulan A kempen Piala Belia 2024.
Aksi di separuh masa pertama bermula dengan jaringan pembukaan perlawanan dihasilkan pada minit ke-14 menerusi pemain Selangor, Irfan Zakwan.
Tidak cukup dengan jaringan pertama, Selangor terus melancarkan asakan ke kubu tuan rumah. Sebelum aksi di babak pertama tamat, Hatif Irfan mencatat nama sebagai penjaring sekaligus menutup aksi di separuh masa pertama dengan keputusan 2-0.
Bersambung aksi di babak kedua permainan, Selangor dan Kelantan masing-masing dalam misi mencari gol.
Biarpun ketinggalan, semangat terus dinyalakan skuad tuan rumah untuk memburu gol pertama. Namun hingga ke minit akhir permainan, Kelantan tetap gagal mencari gol sekaligus keputusan di babak pertama kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil.
Aksi di Stadium Mini Daerah Machang tamat, Kelantan tewas kepada Selangor dengan keputusan 2-0.