Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui pasukan itu perlu memberi aksi terbaik jika mahu mara ke peringkat suku akhir Shopee Cup.
Hal ini dinyatakan beliau selepas diminta mengulas undian kumpulan yang diterima Merah Kuning untuk kempen 2025/26.
Selangor berdepan cabaran sukar dalam Kumpulan A. Ini kerana juara Piala Malaysia 2015 itu perlu berdepan cabaran dua finalis edisi 2024/25, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) dan Buriram United.
Selain itu, Merah Kuning juga akan dicabar BG Pathum United dan wakil Singapura, Tampines Rovers. Pemenang aksi playoff bakal melengkapkan senarai enam pasukan dalam Kumpulan A.
Kinoshi mengakui dengan undian tersebut, Selangor tiada pilihan melainkan memberikan aksi terbaik jika ingin mara ke peringkat suku akhir.
“Anda tahu kita tiada pilihan bila berdepan pasukan-pasukan ini di peringkat kumpulan agar dapat layak ke peringkat kalah mati.
“Ini sasaran kita, semua lawan kita pasukan yang kuat. Sesetengah pasukan bersaing dalam ACLE (Liga Juara-Juara AFC Elit) dan mengikut pemahaman saya, finalis musim lepas pun ada.
“Jadi, ini satu peluang yang baik buat kita menunjukkan kemajuan dalam Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam Kumpulan B. JDT pula akan berdepan tentangan Lion City Sailors dan Bangkok United.