Selangor FC telah memgumumkan pengganti segera kepada Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil.
Pengendali muda itu telah mengambil alih tugas daripada bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe pada awal musim 2024/25.
Selangor mengharungi permulaan baik dengan memenangi tiga trofi namun tekanan kembali memuncak selepas tunduk dalam saingan final Piala FA 2024.
Gergasi Merah terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 6-1 di Bukit Jalil.
Selangor FC sekali lagi akur dengan kehebatan JDT apabila tunduk dengan keputusan 3-0 bagi aksi ke-14 Liga Super di Stadium MBPJ tempoh hari.
Kelab Lembah Klang itu dalam satu kenyataan telah mengumumkan bahawa Nidzam Jamil secara rasminya meletakkan jawatan selaku Ketua Jurulatih Selangor.
“Selangor FC mengumumkan bahawa Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil telah meletakkan jawatannya, berkuatkuasa serta-merta.
“Beliau telah memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan utama Selangor FC dan pihak kelab menghormati keputusan beliau,” jelas Selangor FC.
Gergasi Merah mengumumkan juga mengenai pengganti sementara tugasan ketua jurulatih akan disandang oleh Abdi Hassan.
“Tugas Ketua Jurulatih pasukan utama Selangor FC akan digalas oleh Abdi Hassan secara interim sementara kelab mengenal pasti Ketua Jurulatih baharu,” tambah kenyataan itu.
Ujian pertama Abdi Hassan adalah menentang Kedah Darul Aman bagi aksi ke-15 Liga Super pada 2 November sebelum ke Jeonbuk bagi aksi ACL2.