Advertisement
Selangor & Yoodo Umum Kerjasama Strategik Skuad Futsal & Esports Musim 2024
UltraSukan
UltraSukan
Selangor FC

Selangor FC terus mengorak langkah dengan mengadakan kerjasama strategik bersama syarikat telekomunikasi Yoodo.

Kerjasama ini dimeterai pada 29 Januari lalu. Kerjasama Merah Kuning dengan Yoodo merupakan kesinambungan kerjasama yang terjalin pada tahun 2023.

Selepas sebelum ini menjadi penaja utama pasukan e-sukan Selangor, Yoodo Selangor Red Giants (YSRG) pada 2023, kerjasama ini dilebarkan pula ke skuad futsal Merah Kuning.

Menerusi pemeteraian kerjasama ini, logo Yoodo bakal terpampang bukan saja pada baju pasukan e-sukan Selangor.

Malah, ia juga bakal terpampang pada jersi Merah Kuning bila mereka bersaing dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2024.

Pemeteraian kerjasama diadakan di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam di mana ia disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Majlis turut dihadiri oleh pengurus skuad futsal Selangor, Mimi Afzan dan Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun.

Tuck Mun melihat kerjasama ini mampu menunjukkan sukan sebagai kuasa penyatuan dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Menabalkan diri kami sebagai syarikat telekomunikasi untuk individu yang dinamik, Yoodo telah terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti berpaksikan gaya hidup sihat, termasuk e-sukan dan futsal.

“Ikatan baharu kami bersama Selangor FC Futsal telah mengesahkan kepercayaan kami terhadap sukan sebagai satu kuasa penyatuan dan dedikasi kami untuk mempromosikan aktif gaya hidup sihat di Malaysia.

“Selain itu, penerusan hubungan bersama Yoodo Selangor Red Giants menekankan komitmen kami kepada pasukan dan komuniti Mobile Legend Bang Bang (MLBB) yang lebih luas, sambil kami menjangka kejayaan masa depan dalam arena sukan.

Kami akan bersungguh-sungguh menyokong kedua-dua pasukan dan berharap untuk meraikan kejayaan Selangor FC tahun ini,” katanya.

Turut senada dengan kenyataan Tuck Mun ialah Johan. Beliau melihat kerjasama ini mampu memberi keuntungan bersama kepada kedua-dua entiti tersebut.

“Selangor FC sangat teruja dengan pengumuman tahun kedua kerjasama dengan Yoodo. Bukan sahaja mereka meneruskan penajaan, malah Yoodo bersetuju untuk menaja dua pasukan iaitu skuad eSports Gergasi Merah Selangor dan skuad futsal Selangor FC bagi tahun 2024.

“Kejayaan skuad Gergasi Merah Yoodo Selangor menduduki tempat ketiga dalam ranking keseluruhan Mobile Legends Professional League (MPL) musim lalu merupakan antara pencetus utama kerjasama ini diteruskan.

“Pada masa sama, pencapaian skuad futsal Selangor FC yang telah menjuarai tiga edisi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019, 2021 dan 2022 turut menarik minat Yoodo untuk menaja pasukan futsal musim ini.

“Kerjasama ini adalah tanda perkongsian dan kepercayaan yang saling menguntungkan antara satu sama lain. dibangunkan antara Selangor FC dan Yoodo pada tahun pertama kami,” ujarnya.

Selangor ketika ini bersaing dalam Divisyen 1 MPFL musim 2024 bersama tujuh pasukan lain. Ini termasuk juara MPFL musim lepas, Pahang Rangers.