Biarpun skuad kebangsaan Malaysia tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 tempoh hari, pujian perlu diberikan kepada barisan pemain yang sentiasa berusaha mencari gol walaupun ketinggalan.
Bagi penyerang Malaysia, Romel Morales, beliau berbangga dengan sumbangan semua rakan sepasukan yang sudah pun memberikan yang terbaik bagi mencipta sesuatu di Muscat, Oman.
Selain Oman yang bertahan dengan penuh berdisiplin, ketumpulan penyudah pemain Malaysia juga menjadikan perlawanan itu tidak memihak kepada anak-anak buah Kim Pan-gon.
“Saya rasa, kami sudah melakukan yang terbaik. Saya bangga dengan rakan sepasukan, kami mencuba sehingga ke pengakhirannya.
“Walaupun kita ketinggalan satu gol, kita tetap mencuba dan menekan mereka (Oman). Seperti yang anda lihat, selepas mereka jaring satu gol, mereka hanya bermain di (bahagian) bawah.
“Kami mencuba untuk menyerang mereka, mencipta peluang dan peluang itu sememangnya ada. Namun, saya rasa sentuhan terakhir tiada,” jelas Romel seperti yang dilaporkan Astro Arena.
Malaysia berpeluang untuk membalas dendam di atas kekalahan di Oman tempoh hari selepas kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.
Untuk kedudukan terkini, Malaysia kini berada di tangga ketiga kumpulan D bagi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan mengumpul 6 mata hasil dua kemenangan. Kutipan mata yang sama turut direkodkan Oman dan Kyrgyzstan.