Selepas Juventus, Richmond Boakye Kembali Ke Liga Itali
MakanBola
Selangor FC

Bekas penyerang Selangor FC, Richmond Boakye memilih kembali mewarnai arena bola sepak Itali.

Semakan di Transfermarkt mendapati penyerang berusia 33 tahun itu menyertai kelab divisyen lima Itali, Renato Curi Angolana.

Secara ringkas, kelab ini ditubuhkan pada 1998. Ia terhasil hasil penggabungan dua buah kelab iaitu Renato Curi dan Angolana.

Ramai legenda Itali pernah menyarung jersi pasukan itu. Antaranya dua pemenang Piala Dunia 2006, Fabio Grosso dan Massimo Oddo.

Boakye antara enam pemain baharu yang menyertai kelab itu dalam tetingkap perpindahan Januari. Sebelum menyertai Renato Curi Angolana, beliau pernah mewakili Sloga Meridian di Bosnia-Herzegovina.

Selain Selangor dan Juventus, Boakye juga pernah beraksi untuk Al-Akhdar, PAS Lamia, Gornik Zarbze, Red Star Belgrade, Jiangsu FC, Atalanta, Roda JC Kerkrade, Elche, Sassuolo dan Genoa.

Meskipun hanya sempat beraksi pada separuh kedua musim 2023, Boakye membantu Selangor muncul naib juara Liga Super.

Beliau turut menjaringkan enam gol dan merekodkan tiga bantuan gol dalam 15 perlawanan musim tersebut.