Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dipimpin oleh bekas pemain negara suatu hari nanti.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Baginda apabila melihat satu pengumuman mengenai lantikan Hariss Harun sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Selasa.
Menurut Tunku Ismail, pelantikan Hariss itu merupakan satu keputusan yang tepat selain melihat bekas tonggak tengah JDT itu adalah individu yang layak untuk memegang jawatan tersebut.
“Keputusan terbaik dan sangat layak. Seorang profesional tulen dan insan yang hebat,” ujar Tunku Ismail di laman X.
Harapan Baginda agar suatu hari nanti giliran bekas pemain negara pula akan diberikan peluang untuk berada di tampuk pemerintahan badan induk bola sepan Malaysia iaitu FAM.
“Semoga suatu hari nanti bekas pemain Malaysia akan terajui FAM,” tambah Tunku Ismail.
Ketika ini, dua bekas pemain negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan dilantik selaku ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, dengan menjawat tugas Naib Presiden serta Timbalan Presiden.