Pemain sayap China, Wei Shihao berhasrat menyekat kemenangan Indonesia menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 hari ini.
Dalam sesi sidang media pra-perlawanan, Wei Shihao yakin pasukannya mampu melakar kejutan di hadapan penyokong sendiri meskipun tewas dalam tiga aksi terdahulu.
“Walaupun kami tidak mendapatkan sebarang mata dalam tiga perlawanan awal, setelah kembali ke gelanggang sendiri, banyak peminat menyokong kami, jadi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk tewaskan Indonesia.”
Beliau juga yakin para pemain China sudah mendapat motivasi terbaik untuk perlawanan kali ini. China bakal turun dengan barisan terkuat dalam misi mengutip kemenangan pertama untuk kempen kali ini.
“Kami bermain dengan lebih baik sekarang dan kami berusaha menyesuaikan diri dengan taktikal daripada ketua jurulatih. Semua orang pasti akan melihat perubahan China dalam perlawanan menentang pasukan Indonesia nanti,” ujar Wei Shihao.
China bakal berdepan Indonesia dalam saingan Kumpulan C di Stadium Qingdao Youth pada jam 8 malam.
Ketika ini, China berada di kedudukan terakhir dalam carta selepas tiga siri kekalahan dialami pasukan itu. Indonesia pula berada di tangga kelima selepas tiga mata dicatat skuad kendalian Shin Tae-yong.