Pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menyaksikan 18 negara Asia yang layak disusun mengikut kedudukan ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Berdasarkan kedudukan terkini FIFA, Jepun mengetuai 18 pasukan itu dengan menduduki ranking ke-18 dunia. Ini disusuli Iran yang menduduki ranking ke-20.
Korea Selatan dan Australia pula turun satu anak tangga dengan masing-masing menduduki tangga ke-23 dan 24.
Sementara itu, Indonesia merekodkan peningkatan tertinggi dari segi ranking iaitu lapan anak tangga. Ketika ini, Tim Garuda berada di kedudukan ke-134.
Ini disusuli Palestin dan Kyrgyzstan yang masing-masing menduduki kedudukan ke-93 dan 100. Kedua-dua negara itu merekodkan peningkatan sebanyak empat anak tangga.
Kesemua 18 negara ini akan dibahagikan mengikut pot yang ditetapkan apabila cabutan undi peringkat kumpulan diadakan pada 27 Jun ini di Kuala Lumpur.
Kesemua 18 negara akan dibahagikan mengikut tiga kumpulan terdiri daripada enam pasukan. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara secara merit ke Piala Dunia 2026.
Manakala pasukan yang menduduki tangga ketiga dan keempat setiap kumpulan pula akan berentap di pusingan keempat kelayakan bagi menentukan pasukan seterusnya yang layak.