Senarai pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super musim 2025/26 bakal diketahui dalam masa terdekat.
Jawapan itu dinyatakan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd apabila ditanya tentang perkara tersebut.
Shazli memaklumkan senarai pasukan untuk musim 2025/26 bakal diketahui sama ada pada minggu ini atau minggu hadapan.
“Insya Allah secepat mungkin. (Senarai pasukan musim 2025/26) yang mana kita akan dapat tahu sama ada pada minggu ini atau minggu hadapan,” katanya semasa dihubungi Nindia.
Sebelum ini, First Instance Body (FIB) memaklumkan 13 pasukan liga sudah mengemukakan permohonan Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/26.
Selain 13 pasukan Liga Super, dua wakil Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC juga telah mengemukakan permohonan sama kepada FIB.
Senarai ini dijangka menjadi perhatian peminat bola sepak Malaysia. Ini selepas beberapa pasukan dilaporkan akan menarik diri untuk musim 2025/26.