Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) pada semalam telah mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan Indonesia.
Pasukan kendalian Shin Tae-yong bakal turun berdepan Brunei Darussalam dalam aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia.
Beberapa nama besar yang berkelana di luar negara dipanggil untuk memperkuat skuad kali ini seperti Jordi Amat, Asnawi Mangkualam, Pratama Arhan, Marselino Ferdinan dan Elkan Baggott.
Pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik, Ramadhan Sananta, Arkhan Fikri dan Rizky Ridho turut tersenarai dalam Timnas Indonesia.
Dua pemain Indonesia yang beraksi di Liga Malaysia, Jordi Amat dari Johor Darul Ta’zim dan Saddil Ramdani dari Sabah terus konsisten mendapat tempat dan panggilan dalam Skuad Garuda.
Menerusi tinjauan MakanBola di laman media sosial, rata-rata pemerhati dan penyokong bola sepak Indonesia teruja melihat senarai 25 pemain ini. Mereka gembira dengan pilihan jurulatih dari Korea Selatan tersebut.
Indonesia bakal bertemu Brunei pada 12 Oktober 2023 di Stadium Utama Glora Bung Karno untuk aksi pertama dan bakal terbang ke Brunei untuk aksi kedua pada 17 Oktober di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.