Seorang Datuk Didakwa Bakal Ditangkap, Gagal Lunas Gaji Pemain RM1.5 Juta
Malaysia
Sunblack/CC0
Advertisements

Seorang individu kenamaan bergelar Datuk Seri dijangka ditahan pihak berkuasa hari ini selepas gagal melunaskan hutang gaji pemain berjumlah RM1.5 juta.

Portal Scoop melaporkan hukuman tersebut dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Januari lalu selepas individu berkenaan gagal melunaskan hutang gaji membabitkan dua pasukan iaitu Kuantan FA and Marcerra United.

Mahkamah kemudiannya menangguhkan hukuman tersebut kepada 9 Februari 2024 bagi memberi ruang kepada individu kenamaan itu melunaskan hutang yang dinyatakan.

Advertisements

Bagaimanapun, peguam Suhail Rahimi Abdul Razak dari firma Zarkasya & Co. yang mewakili kumpulan pemain dua pasukan itu memaklumkan tiada sebarang bayaran dibuat selepas tarikh tersebut.

“Memandangkan belum ada bayaran dibuat, kami telah menghantar surat kepada mahkamah untuk meneruskan perintah melaksanakan hukuman itu.

“Perintah untuk menangkap defendan telah dikeluarkan pagi ini dan proses penahanan akan dijalankan tidak lama lagi oleh polis.

Advertisements

“Defendan boleh ditahan hari ini atau esok. Kami tidak tahu, kami serahkan kepada polis,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Suhail lagi, sekiranya individu itu menjalani hukuman penjara sekalipun, beliau akan melihat kaedah lain bagi mendapatkan keadilan buat para pemain.

“Defendan telah melangkah ke hadapan dan mengaku liabiliti. Kita boleh meneruskan pengisytiharan beliau muflis atau merampas hartanya untuk menyelesaikan baki tunggakan gaji yang terhutang.

Advertisements

“Itu terpulang kepada para pemain dan kami belum membuat keputusan (tentang itu) lagi,” tambahnya lagi.

Pada 19 Januari 2022, pemain-pemain dari Kuantan FA dan Marcerra United memfailkan saman berjumlah RM3 juta di mahkamah selepas individu kenamaan itu gagal melunaskan bayaran untuk musim 2018.

Susulan itu, defendan membayar RM500,000 pada Disember 2022 dengan baki hutang gaji berkurangan kepada RM2.5 juta.

Advertisements

Selepas beliau gagal melunaskan bayaran berkenaan, satu lagi prosiding dilancarkan pada awal tahun lalu.

Defendan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau bersedia membayar baki tunggakan hutang kepada para pemain.

Nilai tersebut kemudiannya dikurangkan daripada RM2.5 juta kepada RM1.5 juta selepas perbincangan diadakan antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, selepas nilai tersebut telah ditetapkan, individu tersebut masih gagal melunaskan tunggakan yang dijanjikan itu.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram