Seorang Lagi Joao Pedro Jadi Buruan KL City
MakanBola
Sabah FC

Selepas terlepas khidmat penyerang Timor Leste, Joao Pedro, KL City FC kini dilaporkan memburu seorang lagi penyerang yang memiliki nama sama.

Penyerang yang dimaksudkan ialah penyerang Sabah FC, Joao Pedro. Pedro kembali selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC (HCMC FC).

Sepanjang tempoh beraksi di V. League 1, penyerang berusia 25 tahun itu merekodkan 10 penampilan dan tiga gol.

Sebelum menyertai HCMC pada Februari lalu, Pedro sudah meledakkan lapan gol dalam 15 penampilan untuk Sang Badak.

Kini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi mendedahkan nama beliau berada dalam radar KL City FC.

“Difahamkan Kuala Lumpur City berminat untuk dapatkan khidmat bekas penyerang Sabah FC kelahiran Brazil, Joao Pedro bagi memperkuatkan pasukan hadapi saingan Liga M musim 2025/26,” katanya di X.

KL City kini sibuk membentuk pasukan menjelang musim baru liga yang akan bermula pada Ogos ini. Terdahulu, juara Piala Malaysia 2021 itu bukan saja mengumumkan Risto Vidakovic sebagai jurulatih baharu.

Malah, KL City turut mengumumkan ketibaan dua pemain sayap hebat, Manuel Hidalgo dan Safawi Rasid untuk musim 2025/26.