Pemain tengah Sri Pahang FC, Sergio Aguero ditimpa malang apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-34.
Insiden ini berlaku dalam perlawanan final Unifi Piala Malaysia antara pasukan itu dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sebelum itu, Aguero sudah dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali pada minit ke-32.
Ini selepas pemain tengah Harimau Malaya itu dikesan melakukan terjahan keras ke atas tonggak import JDT, Juan Muniz.
Aguero kemudiannya dilayangkan kad kuning kedua oleh Razlan susulan insiden yang tercetus antara beliau dan penyerang JDT, Bergson da Silva.
Bekas pemain Penang itu dilihat menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Razlan berhubung keputusan itu. Aguero kemudiannya ditenangkan Baqiudin Shamsuddin dan Arif Aiman Hanapi sebelum dibawa keluar.
Ketika ini, kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan untuk rehat separuh masa. Sri Pahang mendahului JDT dengan keputusan 1-0.
Bekas pemain sayap KL City FC, T. Saravanan menceriakan kem Tok Gajah dengan meledakkan gol pada minit ke-14.