Pemain kebangsaan Malaysia, Sergio Aguero bertekad mahu membantu pasukan Harimau Malaya meraih mata semaksimum mungkin dalam dua aksi persahabatan menentang India dan Laos.
Sergio Aguero turut mengakui teruja apabila dapat kembali memperkuatkan kem kebangsaan setelah kali terakhir beraksi menentang Chinese Taipei pada bulan Jun lalu.
“Saya gembira dapat kembali ke skaud kebangsaan setelah sekian lama dan pasukan kebangsaan harus meraih sebanyak mata yang mungkin untuk memperbaiki ranking FIFA kita.
“Kita juga mahu mencuba gaya permainan baru dibawah kendalian ketua jurulatih Pau Marti dan menerapkan apa yang beliau mahukan.” ujar Aguero.
Pemain Sri Pahang itu juga bersedia untuk bermain dimana-mana posisi jika diberikan kepercayaan oleh Pau Marti untuk bermain.
“Selain posisi penyerang saya juga boleh bermain sebagai pemain tengah dan beberapa posisi lain. Jadi kita tunggu apa keputusan jurulatih kerana saya sentiasa bersedia.
“Tiada banyak perubahan dari segi latihan kerana Pau merupakan pembantu Kim Pan-gon sebelum ini jadi semua pemain kebangsaan berada dalam keadaan baik.
“Saya rasa dia lebih mahukan saya sebagai pemain tengah tetapi kita harus tunggu dan lihat kerana saya masih baru bersamanya dalam dua kali latihan. Kita masih ada masa untuk berlatih dan buat keputusan.” jelas Aguero kepada Harimau Malaya.
Malaysia bakal berentap dengan Laos di Stadium Port Authority of Thailand (PAT) pada 14 November ini dan kemudian terbang ke Hyderabad untuk aksi melawan India pada 18 November kelak.