Jaguh berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom bersyukur kerana dapat mengakhiri penantian pingat emas dalam saingan UCI Track Nation Cup.
Sebelum ini, penyertaan Shah Firdaus dalam kejohanan utama menyaksikan beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak atau pingat gangsa.
Ini termasuk acara keirin Asian Cycling Championships (ACC) 2025 di Nilai, Negeri Sembilan pada bulan lalu. Kejohanan itu menyaksikan Shah Firdaus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Kini, penantian beliau berakhir apabila mengungguli acara keirin UCI Track Nation Cup di Konya, Turkiye. Shah Firdaus mengatasi jaguh Perancis, Sebastien Vigier dan juara Asia acara keirin, Shinji Nakano.
Beliau mengakui ini satu kejayaan yang manis lebih-lebih lagi dengan cabaran yang dihadapinya dari pusingan pertama.
“Pertama sekali, Alhamdulillah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya melakukannya. Ia adalah hari yang panjang dan perlumbaan yang sangat sukar sejak pusingan pertama,” katanya kepada UCI selepas perlumbaan.
“Saya rasa staf pasukan dan jurulatih sudah melakukan kerja yang bagus dalam merancang segala-galanya. Dan ya, saya amat gembira hari ini.
“Saya sudah lama menantikan saat ini. Sebelum ini, saya pernah mendapat tempat kedua dalam UCI Nation Cup tetapi hari ini adalah hari saya. Saya menang emas.”
Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut menyinar dalam acara pecut wanita UCI Track Nation Cup.
Meskipun Izzah Izzati gagal mara ke peringkat suku akhir acara tersebut, beliau berjaya melakar rekod baru kebangsaan.
Izzah Izzati merekodkan catatan masa 10.578 saat (s) sekaligus mengatasi catatan 10.658s yang dilakar di ACC 2025.