Jurulatih Gombak FC, Shahrom Kalam tampil memberikan komen mengenai persembahan pasukannya selepas aksi ketiga saingan Liga A1 Semi Pro pada Ahad.
Gombak yang turun melayani kunjungan Armed Forces di Stadium MP Selayang bagaimanapun ketinggalan 0-2 menerusi dua gol daripada Faiz Ibrahim untuk memberikan kelebihan buat pelawat sebelum memasuki ke bilik persalinan.
Tuan rumah meningkatkan tempo permainan dan berhasil bangkit di babak kedua mengikat kedudukan hasil jaringan Saiful Ridzuwan dan Patrick sekaligus mengakhiri aksi dengan satu mata buat kedua-dua pasukan.
Shahrom yang ditemui selepas perlawanan berkata kepada Amateur Football League (AFL) bahawa beliau gembira dengan satu mata yang berjaya diraih dan semangat juang yang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang aksi.
“Alhamdulilah kita dapat bangkit untuk menjaringkan dua gol dan kita sepatutnya menang perlawanan malam ini tetapi itulah bolasepak. Jadi kita perlu berpuas hati dengan satu mata,” ujar Shahrom kepada pihak AFL.
Setelah tiga perlawanan, Gombak FC kini menduduki tangga keenam liga dengan kutipan lima mata hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri termasuklah ketika turun berdepan Armed Forces pada Sabtu.