Lion City Sailors (LCS) kempunan bergelar juara Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium Bishan apabila tewas kepada wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sharjah FC.
LCS dan Sharjah memburu trofi ACL2 selepas mengatasi lawan masing-masing di peringkat separuh akhir. The Sailors menyingkirkan Sydney FC dengan Sharjah pula menyingkirkan Al-Taawoun.
Hariss Harun diberi tanggungjawab mengemudi benteng LCS. Bekas bintang Queens Park Rangers (QPR), Adel Taarabt berada di bangku simpanan Sharjah.
Separuh masa pertama menyaksikan kelab yang diberi jolokan Al-Yashtaki Malik itu hampir mendahului seawal minit keenam menerusi Marcus Meloni.
Pemain tengah UAE berdarah Brazil itu melakukan percubaan jarak jauh ke arah gol tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud.
29 minit selepas itu, giliran pemain pertahanan Portugal, Diogo Costa pula yang mencemaskan barisan pertahanan Sharjah.
Costa membuat satu percubaan deras dari luar kotak penalti. Malangnya, percubaan pemain pinjaman Famalicao itu sekadar mengenai tiang gol.
Hariss juga hampir meletakkan LCS di hadapan pada minit akhir separuh masa pertama tetapi dinafikan Adel Al Hosani. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Al-Yashtaki Malik mula meningkatkan tekanan ke atas gawang LCS yang dikawal Izwan.
Caio Lucas hampir meletakkan Sharjah di hadapan pada minit ke-53 tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.
Nasib sama turut dikongsi pemain tengah LCS, Bart Ramselaar 11 minit selepas itu. Selepas berjaya mengatasi cabaran pemain pelawat, percubaan Ramselaar sekadar melepasi palang gol.
Gol yang dicari pelawat akhirnya muncul pada minit ke-74 menerusi Firas Ben Arbi. Situasi ini mendorong The Sailors memasukkan penyerang Singapura, Shawal Anuar untuk memburu gol penyamaan.
LCS terus berusaha mencari gol penyamaan. Hasilnya, Maxime Lestienne menceriakan 9,737 penyokong dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-91.
Keceriaan kem tuan rumah hanya bertahan selama enam minit. Meloni menyumbat gol kemenangan buat Sharjah pada minit ke-97.
Itu sudah cukup menjadikan pasukan pelawat muncul pemenang pada akhir perlawanan. Meskipun tewas, LCS tetap mencipta sejarah sebagai pasukan ketiga ASEAN yang berjaya mara ke final.
Sofascore memilih Meloni sebagai pemain terbaik perlawanan. Ini selepas pemain UAE itu menerima markah 8.0.