Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong memohon maaf susulan permainan buruk pasukan itu ketika menentang Laos pada 12 Disember lalu.
Aksi kedua Kumpulan B ASEAN Championship 2024 menyaksikan Indonesia diikat 3-3 oleh pasukan yang dibimbing Ha Hyeok-jun itu.
Indonesia menyumbat tiga gol menerusi Kadek Arel dan Muhammad Ferrari. Laos membalas menerusi Phousomboun Panyavong, Phattana Phommathep dan Peter Phanthavong.
Tae-yong merasa malu melihat anak buahnya kerap melakukan kesilapan mudah seperti tersilap melakukan hantaran. Atas sebab itu, jurulatih Korea Selatan itu memohon maaf kepada penyokong Tim Garuda.
“Saya fikir kedua-dua pasukan telah berjuang keras yang seharusnya mereka tunjukkan. Namun, kami membuat banyak sekali kesalahan (dari segi) hantaran.
“Jadi, saya sangat menyesal dan malu kerana kesalahan yang kami buat. Saya minta maaf kepada para penyokong terutama yang telah hadir di stadium,” katanya seperti yang dilaporkan MakanBola Indonesia.
Semakan di halaman Sofascore mendapati peratusan ketepatan hantaran yang dilakukan Indonesia sebanyak 83%. Daripada 481 hantaran yang dihasilkan, 81 hantaran gagal menemui sasaran.
Tim Garuda kini bersiap sedia menghadapi Vietnam untuk aksi ketiga Kumpulan B pada 15 Disember ini.