Pemain sayap Indonesia, Marselino Ferdinan merasa kecewa apabila mengetahui pengendali pasukan itu, Shin Tae-yong dipecat.
Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil langkah drastik dengan memecat jurulatih Korea Selatan berusia 54 tahun itu.
Badan induk bola sepak Indonesia itu memaklumkan langkah tersebut diambil demi memastikan prestasi dan matlamat jangka panjang Tim Garuda dapat dicapai.
Susulan itu, ramai pemain Indonesia memberi reaksi terhadap berita berkenaan. Salah seorang daripadanya ialah Marselino yang kini beraksi bersama Oxford United.
Pemain berusia 20 tahun itu mengakui sedih melihat Tae-yong meninggalkan skuad Indonesia. Ini kerana bekas jurulatih Seongnam FC itu memberi impak besar kepada prestasi hebat Indonesia dalam tempoh beberapa tahun.
Atas sebab itu, Marselino merasakan pemergian Tae-yong dilihat satu kehilangan buat Tim Garuda.

“Sangat bangga kerana dapat berkongsi meja selama empat tahun dengan anda. Saya seakan hilang dunia,” katanya dalam satu hantaran Instagram Story.
Bekas pemain KMSK Deinze itu turut mengucapkan terima kasih kepada Tae-yong atas sumbangan besarnya kepada Tim Garuda.
“Bos, saya hanya ingin mengucapkan terima kasih atas semua perkara yang anda lakukan dan bertemu anda lagi pada masa akan datang,” tambahnya.
Sepanjang lima tahun bersama Indonesia, Tae-yong membantu pasukan itu layak ke Piala Asia edisi 2023 dan 2027.
Beliau turut membantu Indonesia mempamerkan prestasi baik dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. Ini termasuk kejayaan mengalahkan Arab Saudi 2-0 pada November lalu.
Tae-yong turut membantu skuad Indonesia Bawah 23 Tahun (B-23) meraih tempat keempat saingan Piala Asia B-23 2024.