Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-Yong menuntut agar para pemain Indonesia memberikan segalanya dalam aksi menentang Filipina.
Indonesia wajib menewaskan cabaran Filipina sekiranya ingin melayakkan diri ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2026.
Sang Garuda kini menghuni tangga kedua kumpulan F dengan mengumpul 7 mata manakala Vietnam berada di tangga ketiga dengan 6 mata.
Situasi semasa tersebut memberikan sedikit kelebihan buat pasukan Indonesia yang hanya perlu menewaskan Filipina untuk mengesahkan diri ke peringkat seterusnya berbanding Vietnam yang perlu menewaskan Iraq dan berharap Indonesia keciciran mata.
Shin Tae-Yong mahu Indonesia berjuang habis-habisan menentang Filipina kelak walaupun lawan mereka telah sah tersingkir apabila menduduki tempat terakhir kumpulan F dengan mengumpul 1 mata.
“Walaupun Filipina sudah gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya, mereka pasti akan bermain bersungguh-sungguh menentang Indonesia.
“Oleh itu kami akan memberikan segala-galanya agar boleh meraih kemenangan untuk para penyokong bola sepak Indonesia.” ujar Shin Tae-Yong.
Stadium Gelora Bung Karno akan menjadi saksi perlawanan genting buat Indonesia yang bakal menerima kunjungan Filipina pada 11 Jun nanti dalam perlawanan terakhir kumpulan F.