Saingan Shopee Cup menyaksikan tiada wakil Indonesia beraksi untuk edisi 2025/26.
Sebelum ini, edisi 2024/25 menyaksikan cabaran Indonesia digalas oleh PSM Makassar dan Borneo FC.
Pencapaian terbaik wakil Indonesia dalam kejohanan itu ialah Juku Eja mara ke separuh akhir. Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) menyekat kemaraan mereka ke final.
Kini, cabutan undi kumpulan Shopee Cup musim 2025/26 menyaksikan tiada wakil Indonesia tersenarai. Hal ini membuatkan ramai peminat bola sepak ASEAN tertanya-tanya tentang situasi itu.
SEAsia Goal melaporkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menolak dua calon kelab yang dikemukakan PT Liga Indonesia Baru (LIB), Persebaya Surabaya dan Malut United.
Persebaya dan Malut dipilih PT LIB kerana menduduki tempat ketiga dan keempat liga Liga 1 Indonesia musim 2024/25.
Meskipun begitu, AFF dilaporkan menolak pencalonan kedua-dua pasukan tersebut. Ini kerana AFF mahu pasukan yang bergelar juara dan naib juara liga ASEAN menyertai Shopee Cup kali ini.
Misalnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC layak disebabkan status sebagai juara dan naib juara Liga Super musim 2024/25.
Maka dalam kes ini, PT LIB sepatutnya mencalonkan juara Liga 1 Indonesia, Persib Bandung dan naib juara liga, Dewa United untuk saingan tersebut.
Ketiadaan dua kelab Indonesia itu menyaksikan hanya 12 pasukan yang bertanding dalam Shopee Cup musim 2025/26.
Selangor perlu berdepan cabaran dua finalis edisi 2024/25, CAHN dan Buriram United dalam Kumpulan A. JDT pula berdepan cabaran kelab gergasi Singapura, Lion City Sailors dalam Kumpulan B.