CAHN mempamerkan aksi hebat apabila meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Lion City Sailors dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan B Shopee Cup.
Lion City sebelum ini tewas 3-0 kepada Borneo FC bagi aksi pertama manakala CAHN turun dengan penuh motivasi setelah menang 2-1 ke atas Buriram United.
CAHN menurunkan barisan pemain hebat seperti Leo Arthur, Vitao, Nguyen Dinh Bac bagi memimpin jentera serangan pasukan.
Hariss Harun dan Hami Syahin pula bergandingan di bahagian tengah pasukan Lion City dan bahagian serangan diketuai oleh Lennart Thy.
Leo Arthur membuka tirai jaringan buat CAHN apabila menjaringkan gol pada minit ke-30 perlawanan.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama dan memasuki babak kedua, CAHN tampil dominan apabila meraih gol kedua pada minit ke-60 menerusi pemain Nguyen Dinh Bac.
Barisan pertahanan Lion City terus diuji hebat dan sekali lagi dibolosi pada minit ke-66 hasil jaringan Le Van Do.
CAHN terus mengganas apabila meraih gol keempat perlawanan selang tiga minit kemudian menerusi jaringan Leo Arthur.
Leo Arthur melengkapkan malam gemilang buat dirinya dan CAHN apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-86 yang turut merupakan gol kelima pasukan.
Perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak kepada CAHN yang menewaskan Lion City Sailors dengan jaringan 5-0.
Lion City Sailors seterusnya akan menentang KL City manakala CAHN akan melawan Kaya FC bagi perlawanan ketiga kumpulan B.
CAHN kini merekodkan 6 mata setelah meraih 2 kemenangan berturut-turut manakala Lion City Sailors masih belum memungut sebarang mata setelah tewas dua aksi awal Shopee Cup.