Aksi ketiga peringkat kumpulan A Shopee Cup pada Rabu menyaksikan Svay Rieng tumpas di tangan PSM Makassar hasil jaringan awal permainan.
Setelah meraih kemenangan pertama di Shopee Cup pada September lalu, PSM Makassar kini dijadualkan terbang ke Kemboja untuk bertemu Svay Rieng yang tumpas di tangan BG Pathum.
Bek kental, Yuran Fernandes diberi tugas mengetuai barisan pemain PSM Makassar sementara Svay Rieng pula menaruh harapan buat tonggak Kemboja, Dara Viraek dan Nick Taylor.
Belum sempat tuan rumah mencari rentak, PSM Makassar sudah pun menjaringkan gol pembukaan menerusi ledakan penyerang, Nermin Hajelta ketika permainan baru berusia 40 saat.
Seakan tersentak, Svay Rieng berusaha bangkit memburu jaringan penyamaan dengan siri asakan menerusi Cristian Roque dan Bounphachan Bounkong namun gagal menemui jaring.
Separuh masa pertama tamat, Svay Rieng 0-1 PSM Makassar.
Kembali dari rehat, Nermin Hajelta hampir menggandakan kelebihan buat PSM Makassar dengan gol kedua pada minit ke-62 sebelum jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil.
Aksi di Stadium Olimpik Phnom Penh berakhir dengan keputusan 1-0 memihak PSM Makassar
Saingan Shopee Cup bakal bersambung pada 22 Januari ini dengan Svay Rieng akan bertemu wakil Vietnam, Thanh Hoa manakala PSM Makassar menentang Terengganu di Gong Badak.