Shopee Cup Milik Buriram United, CAHN Kalah Sepakan Penalti
MakanBola
Buriram United FC

Kelab Gergasi Thailand, Buriram United ditabalkan sebagai juara Shopee Cup setelah bangkit penuh luar biasa apabila menumbangkan CAHN di final pada Rabu.

Kedua-dua pasukan kembali bertemu di Chang Arena untuk perlawanan timbal balik akhir Shopee Cup setelah Buriram United bangkit mengikat CAHN 2-2 ketika aksi pertama di Vietnam lalu.

Gandingan Supachai Chaided dan Guilherme Bissoli taruhan utama Buriram United bagi memburu jaringan tatkala CAHN pula menurunkan tonggak Vietnam, Filip Nguyen di pintu gol pasukan.

Gol pertama berjaya dicetak oleh bintang kacukan Vietnam-Perancis, Jason Pendant pada minit ke-16 hasil satu gerakan menarik bersama Nguyen Quang Hai bagi meletakkan CAHN di hadapan

Pada minit ke-39, pelawat diberikan sepakan penalti setelah Peter Zulj mengasari pemain CAHN dan tugasan itu dengan mudah disempurnakan oleh tonggak tengah dari Brazil, Leo Artur.

Separuh masa pertama tamat, Buriram United 0-2 CAHN.

Kembali dari rehat, kubu CAHN tanpa henti diasak hebat oleh Buriram dengan Lucas Crispim kelihatan berusaha gigih bagi menghidupkan kembali sisa perjuangan pasukan tuan rumah ini.

Martin Boakye dan juga Pansa Hemviboon berpeluang untuk menjaringkan gol pertama Buriram namun aksi tangkas oleh Filip Nguyen di gawang CAHN mengecewakan para pemain serangan lawan.

Akhirnya, Peter Zulj berjaya meniaringkan gol pertama untuk Buriram hasil rembatan deras kaki kiri di dalam kotak penalti sekaligus memberi harapan buat para penyokong tuan rumah yang hadir.

Suasana di stadium menjadi riuh pada minit akhir perlawanan apabila sepakan percuma Lucas Crispim berjaya menembusi gawang CAHN bagi mengikat kedudukan 2-2 dan 4-4 secara agregat.

Perlawanan kini berlanjutan ke masa tambahan 30 minit yang menyaksikan Buriram United melengkapkan kebangkitan luar biasa menerusi gol Guilherme Bissoli hasil sepakan penalti di minit ke-106.

Walau bagaimanapun, hasrat Buriram United untuk mencatat kemenangan di laman sendiri tertangguh oleh tandukan Alan Grafite pada minit ke-118 bagi pasukan CAHN pula mengikat kedudukan.

Aksi 120 minit di Chang Arena berakhir dengan keputusan 3-3 dan secara agregat 5-5 sekaligus memaksa Buriram United dan CAHN bertarung tenaga di penentuan tendangan penalti bagi mencari pemenang.

Buriram United dijulang selaku juara Shopee Cup edisi 2024-2025 selepas memenangi aksi penentuan tendangan penalti 3-2 setelah 3 kali sepakan pemain CAHN dinafikan Chatchai Budprom.

Untuk rekod, Buriram United kini menjadi pasukan ke-3 yang memenangi Kejuaraan Kelab Asia Tenggara atau Shopee Cup ini setelah East Bengal dan Tampines Rovers masing-masing ketika edisi 2003 dan 2005.