Bintang Thailand, Suphanat Mueanta kembali memperkuat cabaran Buriram United menjelang aksi separuh akhir kedua Shopee Cup pada Rabu.
Sebelum ini, bekas pemain OH Leuven itu terpaksa berehat selama dua bulan akibat kecederaan.
Kecederaan itu bukan saja menyebabkan beliau terlepas perlawanan penting bersama Buriram termasuk aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Malah, khidmat Suphanat tidak dapat ditagih jurulatih Thailand, Anthony Hudson untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lalu.
Kini, SNE Sports memuat naik video beliau menjalani latihan bersama Buriram menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kehadiran semula Suphanat bakal memberi kesukaran kepada anak buah Xisco Munoz. Ini kerana penyerang berusia 23 tahun itu beberapa kali mengecewakan JDT di pentas Asia.
Musim 2024/25 menyaksikan gol Suphanat dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik ACLE menyaksikan JDT terlepas tiket ke suku akhir.
Musim ini, beliau menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol bagi membolehkan Thunder Castle menewaskan Harimau Selatan 2-1 di peringkat Liga Timur ACLE.