Kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa kekal tanpa kalah dalam Kumpulan A Shopee Cup meskipun diikat tanpa jaringan oleh kelab Kemboja, Svay Rieng.
Thanh Hoa memburu satu lagi kemenangan untuk memintas pendahulu kumpulan, PSM Makassar. Svay Rieng pula mahu mendapatkan satu lagi kemenangan untuk memburu slot tempat kedua Kumpulan A.
Yago Ramos dan Luiz Antonio menjadi sandaran gol jurulatih Thanh Hoa, Velizar Popov. Bounphachan Bounkong menjadi pilihan Jose Munoz untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol pendahuluan di Stadium Thanh Hoa.
Bounphachan hampir menggegar gawang Lam Son Warriors seawal minit ketiga tetapi dinafikan penjaga gol, Xuan Hoang Trinh.
15 minit selepas itu, giliran Antonio berusaha menembusi gawang pelawat. Malangnya, percubaan bekas pemain Lamphun Warriors itu dinafikan penjaga gol Svay Rieng, Vireak Dara.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Lam Son Warriors mula meningkatkan tekanan ke atas pelawat yang diberi jolokan The Blue Saber itu.
Antonio terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Svay Rieng pada minit ke-50. Walau bagaimanapun, Vireak kental menafikan percubaan derasnya.
Svay Rieng memasukkan Nhean Sosidan pada minit ke-61 untuk mengubah momentum permainan tetapi tidak berhasil.
Kesukaran kedua-dua pasukan memecah kebuntuan dalam perlawanan tersebut memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Thanh Hoa dan Svay Rieng kekal di tangga kedua dan kelima dengan enam dan empat mata.
Selepas ini, Thanh Hoa bakal berdepan PSM Makassar untuk aksi terakhir kumpulan pada 5 Februari. Svay Rieng pula berdepan Shan United pada hari yang sama.