Shopee Cup: Thanh Hoa Sedia Hadapi Tentangan Terengganu
MakanBola
Thanh Hoa FC

Tonggak pertahanan Thanh Hoa, Gustavo Sant’Anna Santos melihat pasukan itu bersedia menghadapi tentangan Terengganu FC dalam saingan Shopee Cup.

Thanh Hoa memiliki momentum positif untuk menghadapi aksi kedua Kumpulan A itu. Ini kerana juara Vietnamese Cup 2023 itu bukan saja menewaskan juara V. League 1 2023, Cong An Ha Noi (CAHN) baru-baru ini.

Malah, pasukan itu sudah meraih tiga mata pertama dalam Kumpulan A dengan menewaskan Shan United 3-1 pada 21 Ogos lalu.

Meskipun mengakui terpaksa menempuh tempoh perjalanan yang lama untuk aksi di tempat lawan, itu bukan halangan buat Thanh Hoa untuk memberi persembahan terbaik.

Ini kerana Santos percaya dengan perancangan taktikal yang dilakar jurulatih Bulgaria, Velizar Popov untuk menghadapi ancaman Peteh.

“Macam jurulatih (Velizar Popov) katakan, situasi yang dihadapi kita bukan mudah. Kita menghabiskan tempoh masa lama untuk perjalanan (ke tempat lawan).

“Tetapi jurulatih tahu apa yang perlu dilakukan, beliau tahu cara pemain bermain. Tentang ini, saya tak takut kerana beliau tahu apa yang perlu dilakukan.

“Jika ada kemungkinan beliau akan membariskan pemain-pemain muda, kita akan bermain. Saya tiada masalah tentang itu kerana jika anda datang esok, kita akan beri 100% untuk cuba memenangi perlawanan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Terengganu dan Thanh Hoa bakal berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 25 September ini.

Usaha Peteh menghadapi kelab Vietnam itu sedikit mencabar tanpa beberapa tonggak seperti Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan dan Nelson Bonilla.