Beberapa hari lepas, arena bola sepak negara kecoh dengan insiden pergaduhan penyokong kasual semasa perlawanan Liga Super membabitkan Perak dan Selangor. Bagi bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan, tindakan segelintir penyokong ini mencemarkan imej bola sepak Malaysia yang sedang menuju ke era profesional.
Ini kerana pergaduhan sebegini bukan saja mengancam keselamatan penonton lain terutama yang membawa keluarga ke stadium. Malah, ia secara tidak langsung memberi imej negatif kepada orang di luar sana terutama kanak-kanak yang baru berjinak-jinak dengan dunia bola sepak.
Beliau percaya sekiranya perkara ini berlarutan sehingga membawa kepada kematian, maka yang rugi ialah bola sepak negara. Ini boleh saja menjejaskan kemajuan bola sepak negara yang baru hendak bangkit termasuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
“Satu kejadian yang tak sepatutnya berlaku dalam era profesional dan mereka (penyokong) adalah generasi yang moden. Benda-benda macam ini kenapa kita nak ikut? Yang orang pun dah tak banyak buat. Kalau kata ada kematian, siapa yang rugi?
“Sebab kita tahu ada anak-anak yang datang (menonton), keluarga yang membawa anak-anak dan isteri untuk datang melihat dan menikmati bola sepak itu sendiri. Jadi, kalau ada (insiden) berlaku macam ini, rasanya tak baguslah untuk bola sepak kita,” katanya sebagai panel rancangan bual bicara Nindia di Astro Arena semalam.
Shukor yang kini berperanan sebagai penolong jurulatih KL City melihat gelagat penyokong kasual yang tak bertanggungjawab ini berbeza dengan kelompok ultras. Ini kerana kelompok ultras sentiasa bersikap profesional dan sentiasa memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka tanpa mengira keputusan perlawanan.
“Saya rasa ultras dengan ultras (tiada masalah). Mereka mendorong pemain-pemain kita beraksi dengan cemerlang, bagi semangat dan motivasi kepada pemain-pemain itu. Dari awal sampai habis perlawanan itu, saya rasa mereka memberi sokongan kepada pemain-pemain sendiri,” tambahnya.