Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kecewa dengan sikap pasukan itu yang memandang rendah keupayaan pihak lawan.
Aksi terbaru liga membabitkan PDRM FC dan Sabah menyaksikan pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu bergelut melepasi gawang The Cops.
Tatkala pasukan itu berusaha mencari gol kemenangan, Ifedayo Olusegun muncul wira buat PDRM. Bekas pemenang Kasut Emas itu meledakkan gol buat tuan rumah pada minit ke-80.
Kim Swee menyifatkan sikap ini terjadi disebabkan rekod kemenangan lalu Sabah ke atas pasukan lain. Keadaan ini menyebabkan Sang Badak menyangka lawan mereka mudah ditewaskan.
Kim Swee berharap kekalahan ini dapat mendorong pemain untuk membuang terus mentaliti berkenaan. Ini kerana jika ia dibiarkan berterusan, ini bakal menyukarkan Sabah untuk memburu kelompok teratas liga.
“Jangan pandang rendah mana-mana pasukan sekalipun. Apa yang kita telah capai dalam perlawanan-perlawanan lepas, musim-musim lalu kita tak boleh ambil kira.
“Di mana di sini kita tidak boleh menganggap semua pasukan kita mudah mencapai kemenangan. Saya katakan kalau kita tidak bangkit selepas ini dan kita bersikap sambil lewa atau pun berstatus pemain bintang tapi kita tak mendapatkan mata, saya percaya kita akan berdepan musim yang sukar,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Keputusan ini menyaksikan Sabah dan PDRM terikat 14 mata. Meskipun begitu, Sabah masih berada di tangga kelima liga atas kelebihan jaringan.
Selepas ini, Sabah akan berehat sehingga aksi seterusnya pada 19 Oktober. Ini kerana aksi mereka dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang sepatutnya berlangsung pada 28 September ini ditangguhkan kerana kerja-kerja penambahbaikan di Stadium Likas.
19 Oktober bakal menyaksikan Sang Badak bakal berdepan Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.