Sikh Izhan Ganti Rahadiazli Di Kem Harimau Malaya
MakanBola
Penang FC

Penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel dipanggil menyertai kem Harimau Malaya sebagai pengganti penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan kelibat penjaga gol berusia 23 tahun itu tidak kelihatan dalam hari pertama latihan kem skuad kebangsaan.

“Misi benam Vietnam bermula, hari pertama kem latihan pusat Harimau Malaya membabitkan seramai 26 pemain dengan Gabriel Palmero belum tiba dan Rahadiazli Rahalim difahamkan terpaksa diketepikan,” katanya di X.

Kini, pengurusan Harimau Malaya memaklumkan Rahadiazli terpaksa meninggalkan kem atas urusan peribadi. Susulan itu, nama Sikh Izhan dipanggil sebagai pengganti.

“Sikh Izhan Nazrel dipanggil menyertai kem selepas Rahadiazli Rahalim terpaksa meninggalkan kem atas urusan peribadi. Selamat datang, Sikh Izhan!” katanya dalam satu kenyataan.

Sikh Izhan bakal berlatih bersama seorang lagi penjaga gol Terengganu, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, Azri Ghani (KL City FC) dan Haziq Nadzli (Perak FC).

Mereka akan disertai penjaga gol utama Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed yang melapor diri pada 25 Mei ini.

Sikh Izhan merekodkan lapan perlawanan tanpa bolos dalam 25 penampilan bersama Penang FC. Beliau kini kembali ke Selangor FC selepas tamat tempoh pinjaman bersama pasukan utara tanah air itu.